Sejarah Sekolah


Sejarah penubuhan SK.Tumunda Salimandut adalah dipetik dari cerita lisan salah seorang penduduk tempatan iaitu En.Majali Manggong. Pada tahun 1954, surat permohonan pertama untuk memohon sekolah di kampung Salimandut telah dihantar ke pejabat daerah untuk memohon kelulusan. Pada waktu itu, British masih memerintah.

Pada sekitar 1959, District Officer Bandau (Mr.Pios) telah datang meninjau kawasan tapak sekolah. Cadangan tapak sekolah pada waktu itu bukanlah kawasan tapak sekolah sekarang ini. Permohonan sekolah pada waktu itu telah mendapat kelulusan tetapi belum juga didirikan. Sekolah hanya didirikan pada tahun 1978 iaitu menerusi kerajaan Berjaya. Kawasan tapak sekolah yang telah dicadangkan dahulu telah dipindahkan ke kawasan tapak sekolah yang ada pada masa sekarang ini di atas tanah orang kampung iaitu En.Anggali, En.Pana, En.Ebal dan En.Majalin. Mereka telah bersama-sama menyerahkan tanah ini kepada kerajaan untuk pembinaan sekolah.

Sekolah ini dinamakan SK.Salimandut pada mulanya tetapi telah diubah kepada SK.Tumunda Salimandut pada tahun 1983..mengambil nama sempena nama Panglima Tumunda iaitu nenek moyang penduduk kampung ini. Tumunda adalah orang yang gagah, berani dan mempunyai ilmu kebal. Nama sebenar beliau ialah Tumunda bin Unggonit berasal dari Sandakan. Beliau berbangsa Dusun Kimaragang. Tumunda mempunyai 7 orang anak.

Beliau bekerja sebagai petani. Disamping itu beliau menambah mata pencarian beliau dengan mencari Getah Litahan (Hasil Hutan) untuk didagangkan ke sesuatu kawasan seperti Labuan. Tumunda juga mempunyai 7 orang pengikut. Apabila mereka berjalan-jalan ke sesuatu tempat, Tumunda akan bermain-main dengan lembingnya. Tumunda akan melontar lembingnya ke udara kemudian beliau membiarkan lembing beliau mengenai tubuhnya, tetapi tubuhnya tidak mempunyai kesan luka. Apabila puas bermain senjata, mereka akan meneruskan perjalanan ke Marudu.

Apabila mereka tiba di Marudu, Shariff Molohing menyambut mereka. Shariff Molohing mempunyai kapal yang digelar "Kapal Dapung". Menggunakan kapal inilah Shariff Molohing berdagang di serata tempat. Shariff Molohing mengajar Tumunda untuk pergi berdagang di Labuan. Di pertengahan pelayaran, mereka telah dikepung oleh perompak yang berbangsa Bolingigi. Namun usaha perompak sia-sia. Shariff Molohing dan Tumunda meneruskan pelayaran mereka ke Labuan. Setiba di Labuan mereka pun memperdagangkan barang dagangan mereka. Hasil daripada juaalan dagangan itu, mereka gunakan untuk membeli beras dan pakaian. Dalam pelayaran pulang ke Marudu, sekali lagi mereka dikepung oleh perompak, tetapi Tumunda dan Shariff Molohing bukanlah calang-calang orang dalam ilmu persilatan. Maka perompak itu mudah ditumpaskan.

Sejak dari tiu, Shariff Molohing dan Tumunda sering bersama apabila hendak pergi berdagang. Apabila golongan Shariff mengetahui kegagahan Tumunda, mereka pun melantik Tumunda dengan gelaran Panglima Tumunda. Upacara perlantikan itu dilakukan di hadapan shariff-shariff dengan melepaskan tembakan ke udara sambil berteriak (Panglima Tumunda) sebanyak tiga kali.

Pada masa ini, keturunan Tumunda telah berpecah kepada berbagai-bagai bangsa seperti Bajau, Dusun, Kimaragang, Suluk, Paitan dan Tombonuo. Keturunan Tumunda tersebut banyak tinggal di daerah Kudat, Pitas, Banggi dan Kota Marudu. Menurut cerita, Panglima Tumunda jatuh sakit dan meninggal dunia di Kampung Salimandut. Untuk mengenang perjuangan dan kehandalan beliau, sudara mara dan cucu-cicitnya telah berbincang untuk mengabadikan namanya dengan meletakkan tanda nama sekolah ini iaitu SK.Tumunda Salimandut sempena dengan nama beliau "Tumunda". Sekianlah sejarah nama sekolah ini.

Cerita ini ditulis oleh Bikal Rumeek dan disemak / disusun oleh Cikgu Boman @ Borhan Kambang.

DEMI MASA!!!

Cuteki cute

VISI

Warga pendidik sekolah ini telah bersepakat bagi mencapai apa jua yang terkandung dalam visi pendidikan seperti berikut:-

* Berketerampilan
* Berdayausaha
* Gigih dan Cekal
* Kritis dan Kreatif
* Berazam Tinggi
* Berperibadi dan Berakhlak Mulia
* Berilmu dan Beriman serta berkemahiran untuk merealisasikan Wawasan Pendidikan.

Tafsiran Logo Sekolah

Motto/Slogan : "SEKOLAH PENYAYANG" Tafsiran Logo *Bentuk Wau - Melambangkan Kemajuan dan Cita-cita pelajar melambung tinggi. *Topi Graduan & Sijil - Melambangkan cita-cita pelajar. *Obor - Mencerminkan semangat cita-cita pelajar. *Buku & Geometrik - Menunjukkan asas pendidikan. *Padi - Sumber ekonomi masyarakat sekitar. *Gunung - Keindahan dan Keteguhan. *Bulan & Bintang - Melambangkan Agama Rasmi Malaysia. Tafsiran Warna *Biru - Perpaduan antara Guru, Murid dan Ibubapa. *Merah - Keberanian menghadapi cabaran dalam liku-liku kehidupan. *Putih - Keikhlasan Jiwa Pelajar. *Hijau - Perkembangan Rohani dan Jasmani Pelajar. *Kuning - Keagungan dan Kejujuran.

Popular Posts